MAJLIS BERKHATAN 2013

Alhamdulillah Majlis Berkhatan Beramai-Ramai Masjid Al Hidayah telah dilaksanakan pada 1 Disember 2013, melibatkan 40 orang peserta.. Majlis dimulai dengan Pendaftaran & Sarapan jam 8.00 pagi. Jam 8.30 pagi para peserta dan Ibu Bapa, serta atuk & nenek berkumpul di Dewan Masjid, diikuti dengan bacaan doa olih Imam Mohd Rasul Al Hafiz dan ucapan alu-aluan dari Nazir Masjid, Tuan Haji Sirol Aflah Hassan Basri. Ucapan perasmian telah dilakukan olih Yang DiMuliakan, Orang Besar Daerah Gombak, Tan Sri Dato Paduka Raja Dato’ Hj Wan Mahmood Bin Pawan Teh. Selepas itu Ustaz Mohd Rasul telah mengendalikan sesi kaunseling kepada peserta-peserta.

Jam 9.00 pagi perarakan peserta-peserta dimulakan, diiringi dengan selawat Nabi dan paluan kompang. Peserta-peserta telah dijulang olih bapa masing-masing, berarak dikeliling masjid, diiringi dengan bunga manggar. Mungkin inilah peluang terakhir bapa-bapa untuk menjulang anak mereka kerana selepas majlis berkhatan ini anak-anak itu telah menjadi orang dewasa, dan mereka tak mahu didukung lagi. Selepas berarak, peserta-peserta telah mandi bersiram, ihsan dari Jabatan Bomba Taman Melati.
Suasana riang ria mandi bersiram bertukar suram apabila khatan dimulakan. Pengalaman NGERI, MENDEBARKAN, SERAM, dialami olih peserta-peserta, lebih-lebih lagi olih ibu-bapa. Terdengar suara laungan berikut dari bilik sunat : ” Tolong adik, sakit, matilah adik,”      ” Atuk tipu, kata tak sakit,” ” nak balik, tak mau sunat hari ni, nak sunat tahun depan,” ” tak mau sunat dengan doktor, nak sunat sendiri,” ” apasal doktor pegang gunting?,” ” lepas ni tak mau sunat lagi,” ” Tak mau hadiah, tak mau sunat “.
Alhamdulillah, semua peserta keluar dari bilik sunat dengan selamat, ada yang tersenyum. Walau pun ada bersunat dengan PAKSARELA, namun tiada yang lepas lari.
Semoga peristiwa bersunat ini menjadi kenangan manis kepada anak-anak apabila mereka dewasa nanti, disamping dapat mengeratkan ikatan kasih sayang seisi keluarga. Diharapkan anak-anak inilah yang akan mengimarahkan Masjid Al Hidayah dimasa hadapan.
Pihak Masjid mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu menjayakan majlis berkhatan ini. Jazakallah Khaira Kathira.
Dilampirkan disini foto-foto yang sempat dirakamkan pada hari tersebut :
[nggallery id=5]